TAWAU: 13 remaja berusia antara 16 hingga 19 tahun didapati bersalah membunuh pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, pada Mac tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol ketika membacakan keputusan itu di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, berkata, semua tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 304 Kanun Keseksaan.
Mereka dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan pada pukul 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Pada 27 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi diberitahu punca kematian Mohamad Nazmie Aizzat disebabkan kecederaan dada dan tisu lembut akibat trauma tumpul.
Perkara itu disahkan saksi pendakwaan kelima iaitu Pakar Patologi Forensik di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tawau, Dr. Dzureena Abdul Mutalib, 39, yang memberi keterangan di hadapan Duncan, pada pada perbicaraan hari keempat.
Beliau berkata, sebanyak 107 kesan kecederaan dikesan pada hampir keseluruhan jasad ketika menjalankan bedah siasat ke atas mangsa di Unit Forensik Hospital Lahad Datu bermula pukul 10.20 pagi pada 23 Mac.
Sementara pada 12 Mac tahun ini, tertuduh kedua memberitahu Mahkamah Tinggi dia menampar muka, memukul bahu, menendang dan memijak pinggang mangsa di bilik asrama 5 Belian.
Saksi pembelaan ketujuh itu berkata tindakannya adalah bagi mendapatkan jawapan daripada mangsa berhubung kes kecurian yang dilaporkan dua pelajar iaitu tertuduh pertama dan seorang pelajar yang tidak dikenali.
“Sewaktu saya masuk ke bilik 5 Belian, saya nampak mangsa di tengah bilik duduk di lantai… ramai yang mengerumuni mangsa, saya kemudian menyuruh mereka keluar dari bilik untuk bersendirian dengan mangsa, selepas semua keluar saya kemudian bertanya sama ada perkara itu benar atau tidak.
“Saya suruh dia berdiri dan menjawab pertanyaan saya, waktu itu dia tidak mengaku dan saya berasa marah dengan jawapannya lalu saya menampar muka (mangsa) sehingga dia terjatuh di tepi loker, kemudian saya angkat dia dan menanyakan soalan sama namun dia masih tidak mengaku,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan di hadapan Duncan.
