
BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini bagi pertuduhan mengeluarkan kenyataan kontroversi berkaitan isu Jalur Gemilang yang didakwa boleh menimbulkan kegentaran awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rashidah Mohd. Akit.
Mengikut pertuduhan, Muhamad Akmal didakwa membuat kenyataan tersebut melalui laman media sosial miliknya pada jam 3 petang, 11 Ogos 2025, yang didakwa berpotensi mendorong orang awam melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Nordin Ismail mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000. Bagaimanapun, peguam bela utama tertuduh, Aizat Azam memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM2,000, dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan serta perlu menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat di Melaka.
Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Muhamad Akmal diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin. Tarikh 22 September 2025 ditetapkan untuk sebutan semula kes sementara menunggu serahan dokumen.
Terdahulu, suasana di perkarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam meriah dengan kehadiran ratusan penyokong yang hadir memberi sokongan kepada Muhamad Akmal. Mereka membawa sepanduk dan melaungkan slogan seperti “Hidup Pemuda!” serta berselawat sebagai tanda solidariti.





