
KUANTAN: Sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) musnah sepenuhnya selepas terhempas dan meletup di Pangkalan Udara Kuantan, malam tadi.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, memaklumkan dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 9.05 malam, dua pegawai TUDM yang berada dalam pesawat tersebut iaitu seorang juruterbang berpangkat Mejar berusia 34 tahun dan jurusensor senjata berpangkat Kapten berusia 28 tahun sempat melompat keluar sebelum pesawat terhempas dan terbakar.
“Kedua-dua pegawai hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sekitar pukul 2 pagi tadi.
“Mereka kini ditempatkan sementara di 815 Rumah Sakit Angkatan Tentera di Pangkalan Udara Kuantan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Menurut beliau, satu lembaga siasatan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden itu.
Berikutan kejadian, Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah ditutup sementara bagi memberi ruang kerja pembersihan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan.
“TUDM menjalankan kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan di sekitar lokasi insiden. Lapangan terbang dijangka akan dibuka semula selepas pukul 1 tengah hari,” jelas Muhamad Norazlan.
Beliau turut meninjau lokasi nahas serta bertemu dengan kedua-dua pegawai TUDM yang terselamat dalam insiden berkenaan.
Terdahulu, kejadian tersebut mencetuskan perhatian ramai selepas gambar dan video kebakaran di landasan lapangan terbang mula tular dalam media sosial, menunjukkan api marak dan kepulan asap tebal di kawasan berkenaan.






