
KUALA LUMPUR: Rangkaian burger tempatan, myBurgerLab, hari ini mengumumkan pemecatan Ketua Pegawai Operasinya (COO), Andrew Chong, susulan kenyataan kontroversi yang dimuat naiknya dalam media sosial berkaitan hukuman terhadap lelaki Islam yang meninggalkan solat Jumaat di Terengganu.
Dalam kenyataan rasmi, pihak pengurusan syarikat menyatakan mereka terkilan dengan kenyataan Andrew yang dimuat naik di akaun peribadinya, kerana ia menimbulkan kemarahan, kekecewaan dan melukai perasaan umat Islam.
“Kenyataan tersebut tidak mencerminkan nilai teras syarikat kami yang berteraskan saling menghormati, perpaduan dan keterangkuman.
“Oleh itu, kami membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatan Andrew Chong dan semua kaitannya dengan syarikat berkuat kuasa serta-merta,” kata myBurgerLab.
Syarikat itu turut memohon maaf kepada masyarakat yang terkesan, sambil menegaskan pendirian tegas mereka menolak sebarang bentuk diskriminasi atau ketidakhormatan terhadap agama.
Sebagai langkah susulan, pihak pengurusan akan menyemak semula dasar dalaman syarikat dan mewajibkan semua kakitangan menjalani latihan sensitiviti budaya, yang akan melibatkan pakar termasuk pegawai dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kepercayaan hanya dapat dibina melalui tindakan. Kami komited untuk memastikan myBurgerLab kekal sebagai simbol keharmonian dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia,” jelas kenyataan itu.
Pemecatan Andrew dibuat hanya beberapa jam selepas beliau tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan memadam kenyataan asal yang dimuat naik di platform X (dahulunya Twitter), selepas menerima kecaman hebat dari pengguna media sosial serta gesaan boikot terhadap rangkaian restoran tersebut.
Andrew dalam kenyataannya menjelaskan hantaran tersebut merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili syarikat, sambil menyatakan beliau tidak melarikan diri daripada tanggungjawab atas kesilapannya.
“Saya menerima dan menghormati keputusan syarikat. Saya tidak berniat untuk menyakiti mana-mana pihak, dan saya belajar dari kesilapan ini,” katanya.
Kenyataan kontroversi Andrew itu dibuat sebagai reaksi kepada laporan mengenai penguatkuasaan undang-undang syariah di Terengganu, yang membenarkan lelaki Islam yang meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan munasabah dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun.
Dia sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap arah tuju negara dengan menyifatkan “Malaysia perlahan-lahan sedang diambil alih oleh ekstremisme dan bakal menjadi seperti Iran”.





