KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sekali lagi memberi amaran kepada ahli Parlimen supaya membuat pemeriksaan kesihatan atau nama mereka dipaparkan di laman sesawang Parlimen.
Amaran itu ditujukan kepada Ahli Parlimen yang culas mematuhi arahan untuk membuat pemeriksaan berkala.
Johari menjelaskan beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Saya telah bekerjasama dengan Menteri (Kesihatan)… saya sudah utus surat kepada semua YB (Yang Berhormat) untuk membuat pemeriksaan kesihatan.. ada ‘deadline’ (tarikh akhir).
“Siapa tak buat pemeriksaan kesihatan, saya akan naikkan nama YB di website (laman sesawang)… nak pastikan YB sihat, boleh berdegar-degar di dewan (Dewan Rakyat)… pastikan sihat,” katanya.
Beliau berkata demikian sebaik Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad selesai menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat petang ini.
