
KUALA LUMPUR: Seramai 22 juta pemegang MyKad boleh menyemak kelayakan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di portal rasmi SARA iaitu https://sara.gov.my bermula hari ini.
Kementerian Kewangan memaklumkan, setiap pemegang MyKad warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang lahir pada 2007 dan sebelum akan menerima bantuan itu, termasuk penerima SARA sedia ada.
“Tiada pendaftaran atau permohonan perlu dibuat memandangkan kelayakan untuk Penghargaan SARA adalah secara automatik berdasarkan data pemegang MyKad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Oleh yang demikian, orang ramai dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan sebarang tipu helah atau ‘scammer’, memandangkan bantuan Penghargaan SARA akan disalurkan secara terus ke dalam MyKad penerima,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bantuan Penghargaan SARA sebanyak RM100 ini akan disalurkan ke dalam MyKad penerima mulai 31 Ogos 2025 sempena Hari Kebangsaan, dan ia boleh dimanfaatkan hingga 31 Dis 2025.
Kementerian Kewangan memaklumkan baki Penghargaan SARA yang tidak dibelanjakan di hujung tahun akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program Kerajaan Madani yang akan diputuskan kelak.
“Penerima juga boleh memilih untuk menggunakan bantuan ini dengan membeli barangan keperluan asas dan menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan,sebagai contoh pembelian barangan asas sebagai derma kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tempat ibadat dan sebagainya.
“Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit Penghargaan SARA yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400,” menurut kenyataan itu.
Kementerian Kewangan memaklumkan Bantuan Penghargaan SARA boleh dibelanjakan di lebih 7,300 premis runcit yang berdaftar dan akan bertambah dari semasa ke semasa dengan penerima boleh membeli lebih 100,000 barangan keperluan dalam 14 kategori.
“Ini termasuk makanan asas seperti beras dan telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.
“Penerima juga boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) dan maklumat lanjut seperti senarai kedai mengikut bandar dan panduan membeli barangan SARA di portal rasmi,” menurut Kementerian Kewangan.






