
KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana utama Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Pengagihan tersebut melibatkan jumlah keseluruhan RM10.4 bilion, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 11.4 juta pemegang unit ASB di seluruh negara.
Kadar pengagihan itu kekal sama seperti tahun sebelumnya, mencerminkan keupayaan ASB mengekalkan pulangan yang stabil dan mampan. Prestasi ini turut mengatasi penanda arasnya, iaitu kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank, dengan jurang daya saing meningkat kepada 346 mata asas berbanding kadar purata 2.29 peratus.
Pencapaian berterusan ini direkodkan meskipun pasaran ekuiti awam domestik berdepan cabaran, apabila Indeks FBM KLCI mencatat pulangan harga negatif 0.3 peratus setakat tahun 2025.
Menurut ASNB, pasaran tempatan terus terkesan akibat aliran keluar dana asing serta sikap berhati-hati dalam kalangan pelabur. Namun, asas ekonomi negara kekal kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 diunjurkan antara 4.0 hingga 4.8 peratus, disokong oleh kemasukan pelaburan yang memberangsangkan serta pengukuhan nilai ringgit sebanyak 8.7 peratus kepada RM4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dalam satu kenyataan berkata, selama lebih 46 tahun, PNB telah diamanahkan untuk melindungi simpanan hasil titik peluh rakyat.
“Kami berbesar hati dapat mengekalkan pengagihan dividen ASB sebanyak 5.75 sen, dengan jumlah pembayaran RM10.4 bilion, iaitu jumlah pengagihan tahunan tertinggi yang dibayar sejak penubuhan ASB.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif pengagihan pendapatan ASB sebanyak RM206.7 bilion, mencerminkan ketahanan dan kekuatan portfolio pelaburan ASB,” katanya.
Mengulas lanjut, Raja Arshad berkata, pihaknya juga menyedari cabaran yang lebih besar iaitu kekurangan simpanan dan keperluan untuk memupuk tabiat menabung yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.
Justeru, beliau berkata, PNB merancang untuk mempergiatkan usaha literasi kewangan, berpandukan matlamatnya untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
Pengiraan pengagihan pendapatan ASB adalah berdasarkan purata baki minimum bulanan yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut. Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2026.
Transaksi bagi ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 27 hingga 31 Disember 2025.
Pemegang unit boleh menyambung semula transaksi melalui semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2026, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB mulai 2 Januari 2026.





