
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan, perkara itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Shamsul Azri yang juga Setiausaha Jemaah Menteri berkata, perkara itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lepas.
“Tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskhah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ia termasuk mengambil kira maklumat tambahan yang dikemukakan oleh kementerian-kementerian serta pandangan dan ulasan yang diberikan oleh Jemaah Menteri.
Sementara itu, Amir Hamzah menerusi satu kenyataan menzahirkan penghargaan terhadap kepercayaan Perdana Menteri yang memberi mandat kepada beliau untuk membantu tugasan di Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, antara tumpuan utama ketika ini adalah untuk memuktamadkan naskhah RMK-13.
“Banyak maklum balas diterima daripada menteri-menteri yang memerlukan rombakan semula inti pati RMK-13 supaya memaparkan dengan terbaik dasar keutamaan Kerajaan MADANI serta meneruskan momentum pembaharuan agenda Ekonomi MADANI,” katanya.
Pada 28 Mei lepas, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025, selepas gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.





