
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali ibadah haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) sekali lagi memperkukuh kerjasama strategik dengan AMAL by Malaysia Airlines, menerusi pemeteraian kontrak buat kali ke-12 berturut-turut.
Kerjasama berterusan ini melibatkan perjanjian bernilai RM75 juta, merangkumi pembelian minimum 21,000 tempat duduk bagi penerbangan umrah musim 1447 Hijrah.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, hubungan strategik yang terjalin antara kedua-dua pihak memainkan peranan penting dalam menjamin keselesaan dan kelancaran perjalanan para jemaah ke Tanah Suci.

“Kerjasama ini memberi keyakinan kepada jemaah terhadap tiket penerbangan sah, perkhidmatan terbaik serta kemudahan yang disediakan oleh syarikat penerbangan negara kita,” katanya dalam sidang media selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Andalusia dan AMAL di ibu negara, hari ini.
Katanya, kepercayaan tinggi daripada jemaah terhadap AMAL by Malaysia Airlines menjadi faktor utama mengapa Andalusia tidak pernah teragak-agak memperbaharui kerjasama ini setiap tahun.
“Kita tiada sebarang keraguan kerana segala permintaan lazimnya dipenuhi dengan baik oleh pihak AMAL.
“Semua urusan menjadi lebih mudah, bukan hanya untuk kami tetapi juga untuk para jemaah,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah; Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin; dan Ketua Pegawai Operasi AMAL by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor.
Sementara itu, Ida Riswana memaklumkan setakat ini lebih 30,000 jemaah sudah mendaftar dengan Andalusia, dengan sasaran tahunan kekal pada angka 80,000 jemaah.
“Alhamdulillah, kami terus menerima sambutan yang menggalakkan dan insya Allah, kami yakin mampu mencapai sasaran 80,000 tempat duduk bagi musim 1447H,” katanya.







