
AMPANG: Demi memenuhi keinginan teman lelaki dipercayai menjadi motif seorang wanita sanggup membiarkan anak gadis dirogol kekasihnya itu, tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata tindakan wanita terbabit diperoleh menerusi siasatan polis.
“Setakat ini, seramai lima individu sudah diambil keterangan termasuk suspek lelaki dan ibu mangsa.
“Namun, bagi rakaman keterangan mangsa berusia 13 tahun yang masih bersekolah itu dijadualkan hari ini di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC),” katanya dalam kenyataan semalam.
Media kelmarin melaporkan, seorang warga emas ditahan bersama teman wanitanya kerana disyaki merogol anak wanita itu yang berusia 13 tahun, tahun lalu.
Mohd Azam dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian rogol itu disaksikan oleh ibu kandung mangsa sendiri.
Beliau berkata, mangsa melarikan diri dan melaporkan kepada polis selepas mendapat tahu perbualan antara ibunya yang mahu berjumpa dengan lelaki itu di hotel di ibu negara.
Susulan itu, polis menahan lelaki berusia 61 tahun dan ibu mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pada Jumaat.




