
HULU LANGAT: Kerajaan Negeri Selangor akan melibatkan pakar dalam pelbagai bidang termasuk perundangan bagi merangka dasar baharu bertujuan mencegah kejadian seperti kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu daripada berulang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada tindakan susulan hasil pengajaran daripada insiden berkenaan.
“Ini antara skop atau tugas utama jawatankuasa khas yang ditubuhkan, iaitu untuk meneliti kerangka perundangan yang sesuai untuk dikuatkuasakan.
“Perundangan ini boleh merangkumi pelbagai peringkat, sama ada dalam bentuk undang-undang kecil, syarat baharu dalam unit pusat setempat (OSC), enakmen, atau mungkin juga akta,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum kerjasama antara Kerajaan Negeri Selangor dengan tiga rakan strategik iaitu Universiti Selangor (UNISEL), Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB), bagi mengukuhkan pembangunan ekosistem industri air negeri.
Sebelum ini, Amirudin memaklumkan kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk meneliti laporan berkaitan insiden kebakaran paip gas berkenaan, serta merangka langkah-langkah jangka panjang dan cadangan peraturan baharu bagi mengelakkan kejadian serupa berlaku pada masa hadapan.
Jawatankuasa tersebut akan melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan negeri dan persekutuan, Petronas serta agensi teknikal berkaitan, yang akan meneliti hasil siasatan penuh polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bertarikh 26 Jun lalu.
Insiden kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 buah rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40%, 81 lagi mengalami kerosakan separa, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 buah rumah tidak terjejas, termasuk di kawasan Kampung Tengah, Puchong.







