KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain semalam secara rasmi menyerahkan tugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kepada Timbalannya, Datuk Fadil Marsus, yang akan memangku jawatan tersebut buat sementara waktu.
Serah tugas itu dibuat sementara menantikan kemasukan Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu, yang dilantik sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman yang baharu.
Majlis serah terima tugas berlangsung di Dewan Theatrette Bukit Aman itu disaksikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail.
Selain itu, turut diadakan majlis penyerahan tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) JSJ daripada Datin Sri Ennie Salina Roseli kepada Datin Nurashidah Ishak.
Upacara berkenaan disaksikan Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Seri Munirah Che Rose.
Pertukaran Mohd. Shuhaily Mohd. Zain ke Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkuat kuasa hari ini, dengan pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah agensi tersebut bagi tempoh dua tahun sehingga 30 Jun 2027.
Untuk rekod, Mohd. Shuhaily mula mengetuai JSJ Bukit Aman sejak Ogos 2023, menggantikan Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang ketika itu dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.
Pertukaran beliau ke AKPS mula menjadi perhatian selepas arahan rasmi mengenainya tersebar di media sosial awal minggu ini sebelum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa.
