
KOTA BHARU: Kes penyanyi dikir barat popular, Eda Ezrin, yang ditahan bersama lima rakyat Malaysia lain di Sungai Golok, kini dipindahkan ke Mahkamah Rayuan di Songkhla atas permintaan pendakwa raya Thailand.
Walaupun kes telah dipindahkan, Eda Ezrin yang terkenal menerusi lagu ‘Bae Soba Bae’, serta lima yang lain termasuk suaminya, masih ditahan di Penjara Narathiwat sementara menunggu prosiding selanjutnya.
Menurut sumber, Mahkamah Wilayah Narathiwat meluluskan permohonan pendakwa raya untuk membawa kes rayuan itu ke Mahkamah Rayuan Wilayah Songkhla, yang merupakan peringkat kedua dalam sistem kehakiman Thailand.
Terdahulu, pada 6 Jun lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan permohonan keempat oleh pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh mempertimbangkan rayuan terhadap pembebasan mereka daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil methamphetamine secara bersama.
Eda Ezrin, atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, bersama suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, dan empat rakan mereka – Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26 – akan terus ditahan sehingga tempoh lanjutan itu tamat pada 6 Julai ini.
Pada 6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan mereka selepas mendapati tiada bukti mencukupi untuk mensabitkan pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine untuk tujuan pengedaran.
Namun, mereka tidak dibebaskan serta-merta kerana pihak pendakwa raya diberikan masa tambahan untuk mempertimbangkan sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Di Thailand, sistem kehakiman terdiri daripada tiga peringkat iaitu Mahkamah Tingkat Pertama, Mahkamah Rayuan (juga dikenali sebagai mahkamah pertengahan), dan Mahkamah Agung. Mahkamah Rayuan di Songkhla mengendalikan rayuan daripada kes-kes yang dibicarakan di mahkamah wilayah dan mahkamah majistret di kawasan selatan negara itu.
Mahkamah pertengahan tidak mengadakan perbicaraan penuh, sebaliknya membuat keputusan berdasarkan rekod dan dokumen bertulis yang dikemukakan.
Sekiranya pihak terlibat tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan, mereka masih boleh mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung Thailand.
Kebiasaannya, keputusan rayuan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan, namun di selatan Thailand, proses ini boleh mengambil masa antara enam hingga lapan bulan bergantung kepada kes.






