
KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memberi peringatan tegas kepada orang ramai agar tidak melakukan perbuatan khurafat atau amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam di kawasan perkuburan Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman, mangsa nahas bas di Gerik, Perak.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi berkata, pemantauan berkala akan dijalankan oleh Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Besut bagi memastikan tiada unsur syirik atau amalan tahyul berlaku di kawasan berkenaan.
“Mana-mana individu yang melakukan perbomohan, sihir atau sebarang perbuatan bertentangan dengan hukum syarak boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 3A, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun. JHEAT memandang serius segala bentuk perbuatan khurafat yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Amaran ini susulan laporan tular dalam media sosial baru-baru ini, termasuk di Facebook, yang mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab mengambil tanah dari kubur Allahyarhamah untuk tujuan tertentu.
Berikutan insiden itu, keluarga Allahyarham mengambil inisiatif memasang tali pengadang di sekeliling kubur bagi menghalang kejadian seumpama itu daripada berulang.
Selain itu, pihak keluarga turut menetapkan waktu lawatan ke rumah mereka hanya dibenarkan antara pukul 9 pagi hingga 6 petang.
Tiada sebarang kunjungan dibenarkan dari 2 hingga 5 Julai bagi memberi ruang kepada keluarga berehat dan menenangkan diri.
Allahyarhamah Nurly Sahirah merupakan antara 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas tragis melibatkan sebuah bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik pada 9 Jun lalu.






