SINGAPURA: Tren pertama Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link menghubungkan Johor Bahru dan Singapura diperkenalkan secara rasmi di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura itu bukan sekadar projek infrastruktur, sebaliknya simbol kerjasama dua negara yang berkongsi visi dan semangat kemajuan bersama.
“Ini bukan projek infrastruktur biasa. Ia mewakili pengukuhan hubungan persahabatan, kepercayaan dan saling menghormati antara Malaysia dan Singapura.
“Dalam dunia yang semakin mengasingkan diri dan meminggirkan perdagangan terbuka, kita membuktikan bahawa kerjasama boleh membawa kejayaan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Keretapi RTS LINK 01 di SRTC, semalam.
Sementara itu, Loke berkata, kajian pasaran akhir bagi penentuan kadar tambang atau harga tiket RTS Link sedang giat dilaksanakan.
Beliau berharap mekanisme harga yang ditetapkan nanti akan dapat menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan perkhidmatan RTS Link untuk berulang-alik antara Malaysia-Singapura.
RTS Link dijangka beroperasi pada 1 Januari 2027 dengan masa perjalanan hanya lima minit antara Stesen Bukit Chagar, Johor dan Stesen Woodlands North, Singapura.
Projek itu juga menampilkan kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang disatukan di stesen permulaan untuk kelancaran pergerakan penumpang.
Ia adalah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, satu di Bukit Chagar di Johor Bahru dan satu lagi di Woodlands North, Singapura.
MRT Corp dipertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur diperlukan untuk operasi itu dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.
Apabila siap kelak, RTS Link akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor.
