JOHOR BAHRU: Dua individu dikesan membuat laporan polis palsu dalam dua kejadian berasingan di Iskandar Puteri, Johor, melibatkan dakwaan samun yang tidak pernah berlaku.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan M Kumarasan, berkata kes pertama melibatkan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun yang mendakwa dirinya disamun di Gelang Patah pada petang semalam.
“Laporan diterima pada pukul 2.23 petang. Wanita itu mendakwa wang tunai RM21,000 milik majikannya telah disamun,” katanya.
Namun, siasatan polis mendapati wang tersebut sebenarnya digunakan oleh wanita itu untuk perbelanjaan peribadi dan tiada kejadian samun berlaku.
Dalam kes kedua, seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun membuat laporan pada pukul 1.35 pagi tadi, kononnya disamun di tepi jalan kawasan Kangkar Pulai dan beg miliknya yang mengandungi dokumen peribadi dilarikan.
“Namun hasil siasatan mendapati laporan itu juga palsu. Lelaki berkenaan sebenarnya kehilangan kad pengenalannya dan membuat laporan palsu bagi mengelak daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara,” jelas Kumarasan.
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa membuat laporan polis palsu adalah satu kesalahan serius di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
