BESUT: Seorang wanita berusia 19 tahun sanggup menjual barang kemas milik ibunya selepas dihubungi scammer yang menyamar sebagai pegawai polis, kerana takut namanya dikaitkan dengan kes penggubahan wang haram dan dadah.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut semalam.
Menurut beliau, mangsa yang merupakan seorang penganggur mengalami kerugian sebanyak RM62,000 selepas terpedaya dengan helah penjenayah yang menghubunginya melalui panggilan telefon.
“Mangsa menerima panggilan sekitar jam 12 tengah hari semalam daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Touch ‘n Go Kuala Lumpur. Panggilan itu diterima melalui telefon milik ayah mangsa ketika dia berada di rumah,” katanya.
Mangsa dimaklumkan kononnya terdapat saman berjumlah RM25,000 berkaitan akaun Touch ‘n Go atas nama bapanya. Panggilan itu kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
“Suspek kemudian meminta nombor kad pengenalan mangsa dan memberitahu bahawa akaun Maybank atas namanya terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram dan dadah,” jelasnya.
Tambah beliau, suspek turut mendesak mangsa untuk membuat bayaran sebanyak RM60,000 kononnya bagi ‘membersihkan’ namanya daripada tuduhan tersebut.
“Kerana takut dan percaya dengan dakwaan suspek, mangsa sanggup menjual barang kemas milik ibunya demi mendapatkan wang tersebut,” katanya.
Namun, selepas menyedari dirinya telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi sepuluh tahun, sebat serta denda.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai panggilan daripada individu tidak dikenali, serta mengelakkan daripada menekan sebarang pautan yang mencurigakan.
