KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyuarakan kebimbangan serius terhadap pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Izuadin, latar belakang Adams yang didakwa mempunyai kecenderungan kepada ideologi politik kanan ekstrem serta retorik yang memecahbelahkan bertentangan dengan nilai kemajmukan, toleransi dan solidariti yang menjadi tunjang perpaduan rakyat Malaysia.
“Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat berhak, seperti yang termaktub dalam Artikel 4 Konvensyen Vienna, untuk menyuarakan kebimbangan atau menolak mana-mana pencalonan diplomat asing yang tidak selari dengan dasar luar negara serta sensitiviti tempatan,” katanya.
Beliau berkata, penolakan terhadap pencalonan tersebut tidak harus dilihat sebagai tindakan bermusuhan, tetapi sebagai usaha mempertahankan hubungan dua hala yang sihat, saling menghormati dan sejajar dengan kepentingan bersama antara Malaysia dan AS.
Susulan itu, AMK akan menghantar satu memorandum rasmi kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur sebagai bantahan terhadap pencalonan Adams.
AMK turut menggesa kerajaan AS agar mempertimbangkan calon duta yang lebih berwibawa, berpandangan sederhana, dan menghormati prinsip keadilan sejagat demi memastikan hubungan diplomatik yang konstruktif dan harmoni.
