
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren elektrik (ETS) tidak akan diperluaskan ke Pantai Timur buat masa ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia ekoran kawasan berkenaan mempunyai landasan tunggal serta belum ada kemudahan landasan untuk operasi tren elektrik.
“Pantai timur hanya untuk penggunaan Diesel Multiple Unit (DMU) sebab landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk pantai timur ini single track dan tidak electrified… tetapi pantai timur akan ada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Memperkenalkan Bas Diesel Baharu di sini.
Anthony berkata, perkhidmatan ETS ketika ini akan kekal tertumpu di pantai barat dari Padang Besar, Perlis hingga ke Johor Bahru, Johor.
Sementara itu, mengenai KTMB, Anthony berkata operasi pengangkutan itu perlu ditambah baik terutamanya dalam perkhidmatan komuter, ETS dan kargo ekoran belum mencapai tahap keuntungan penuh.
Namun, beliau berkata ia bukan fokus utama KTMB yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu penggunaan bas kenderaan elektrik (EV) bagi perkhidmatan pengangkutan awam seliaan Rapid Bus akan bermula tahun hadapan.
Katanya, vendor yang terpilih menerusi proses tender sebelum ini diberikan tempoh 12 bulan untuk menyiapkan pemasangan dan inisiatif itu juga disokong dengan penyediaan fasiliti tertentu.
“Inisiatif itu disokong dengan pembinaan fasiliti pengecasan serta latihan teknikal dan penyelenggaraan yang sedang giat dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 310 bas akan diterima secara berperingkat hingga awal tahun hadapan dengan 70 daripanya beroperasi di Pulau Pinang.
“Bas terbabit menjadi kumpulan terakhir bas menggunakan bahan bakar sementara menunggu peralihan penggunaan bas EV,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Anthony berkata kerajaan mewajibkan pemasangan bas elektrik itu dalam negara dengan kerjasama syarikat tempatan.
“Kita menetapkan syarat pemasangan bas EV ini mesti dilakukan dalam negara walaupun teknologi itu diperoleh dari luar negara.
“Ia penting supaya kita dapat memanfaatkan teknologi selain memberi faedah kepada syarikat tempatan dan menghidupkan industri pemasangan bas di Malaysia,” katanya.





