NIBONG TEBAL: Warga pendidik di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dinasihatkan tidak terlibat dengan sebarang program motivasi yang dianjurkan pihak luar tanpa mengetahui kandungan atau pengisiannya terlebih dahulu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu penting bagi memastikan para guru hanya mengikuti program yang mendapat sokongan dan pengesahan rasmi daripada KPM.
“Kita kalau boleh tidak perlu terlibat dengan program motivasi yang kita tidak tahu dari segi pengisian dan substance ini.
“Kita sepatutnya tumpukan perhatian kepada isu-isu kita di peringkat sekolah,” katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas serta memberi nasihat kepada warga pendidik sekiranya terlibat dengan program motivasi rumah tangga (eHATI), yang menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga.
Fadhlina berkata, KPM mempunyai pelbagai program pembangunan dan motivasi untuk guru, termasuk perkhidmatan kaunseling yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita tidak mahu guru-guru terbabit dengan program yang boleh menimbulkan keraguan atau menjejaskan integriti profesion perguruan. Banyak program pembangunan dalaman yang kita sediakan.
“Jadi nasihat saya, berhati-hati. Elakkan daripada menyertai program-program luar yang tidak sesuai. Tumpukan kepada motivasi dalam pendidikan kita,” katanya.
