
DUNGUN: Dua unit pertama tren elektrik pelbagai unit (EMU) bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka tiba di Malaysia pada Disember tahun ini, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan sistem pengangkutan rel negara.
Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, yang memaklumkan, penghantaran tren tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, melibatkan keseluruhan 11 set tren EMU, 11 tren penumpang, dan 20 lokomotif.
“Dua tren pertama akan tiba pada penghujung tahun ini, manakala baki sembilan tren EMU dijangka sampai pada April dan Mei tahun hadapan.
“Kesemua tren ini akan digunakan dalam program ujian di tapak fasiliti ECRL,” katanya ketika hadir merasmikan program Mega Fiesta TVET POLYCC 2025 di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan kemajuan pembinaan projek ECRL menunjukkan perkembangan positif, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.
Terengganu mencatat kemajuan tertinggi setakat ini iaitu 91.79%, menjadikan negeri itu penanda aras utama bagi penyediaan fasiliti dan penerimaan tren.
Dalam perkembangan berkaitan, Darwis memaklumkan seramai 101 pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari seluruh negara dipilih untuk menjalani latihan industri di China.
Langkah ini bertujuan mempersiapkan mereka sebagai tenaga kerja mahir menjelang operasi penuh ECRL yang dijadual bermula pada Januari 2027.
“Latihan ini bukan sahaja mendedahkan pelajar kepada teknologi rel terkini, malah memberi peluang untuk mereka memahami standard antarabangsa yang akan diaplikasikan dalam projek ECRL,” kata beliau.
Projek ECRL, yang menghubungkan Lembah Klang dengan Pantai Timur, merupakan antara projek infrastruktur rel terbesar negara dan dijangka menjadi pemacu utama pembangunan ekonomi serta mobiliti rakyat di rantau ini.





