KUALA LUMPUR: Dalam menghadapi gelombang kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan yang semakin pesat, upskilling dan reskilling menjadi strategi utama bagi mengatasi isu ketidakpadanan pekerjaan dan memastikan tenaga kerja kekal relevan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, menegaskan usaha meningkatkan dan memperbaharui kemahiran pekerja perlu digiatkan, terutamanya dalam memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dengan landskap pekerjaan baharu.
“Jika dahulu banyak tugasan dilakukan secara manual dan menggunakan kertas, kini semuanya beralih kepada sistem digital.
“Maka, kita perlu latih semula tenaga kerja agar mereka dapat menguasai teknologi digital ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Pasaran Latihan ASEAN (ATMC) di ibu negara, hari ini.
Beliau turut menolak tanggapan perkembangan AI akan menjejaskan pasaran kerja, sebaliknya melihatnya sebagai pencetus kepada lebih banyak peluang pekerjaan baharu yang memerlukan kemahiran digital tinggi.
“AI dan automasi bukanlah musuh kepada pekerjaan, malah ia membuka ruang untuk lahirnya peranan baharu yang tidak wujud sebelum ini, tetapi hanya boleh diisi oleh mereka yang berkemahiran,” jelasnya.
Abdul Rahman menyifatkan persidangan itu sebagai platform penting yang menyelaraskan sistem latihan dan pendidikan di seluruh rantau ASEAN dengan kehendak industri semasa.
Persidangan yang menghimpunkan lebih 500 peserta dari seluruh negara ASEAN itu turut menjadi medan memperkukuh kerjasama serantau dalam membangunkan model latihan berskala yang boleh dilaksanakan di pelbagai negara.
Antara fokus utama yang diketengahkan termasuk penggunaan platform digital secara meluas, integrasi alat pembelajaran berasaskan AI dan pelaksanaan kaedah penyampaian latihan secara hibrid
ATMC menjadi antara inisiatif utama di bawah ASEAN Year of Skills (AYOS) 2025, yang menyasarkan pembentukan tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi juga tahan uji, mudah alih dan mampu bersaing di peringkat global.
