
SHAH ALAM: Polis akan merujuk dua kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam minggu ini, melibatkan kes seorang penceramah bebas yang dikaitkan dengan penyebaran video seks serta kes seorang lelaki warga Pakistan yang didakwa mencabul dan meliwat beberapa kanak-kanak dan remaja lelaki.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kedua-dua kes itu kini dalam peringkat akhir siasatan sebelum dirujuk untuk tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwaan.
“Kes liwat oleh suspek warga Pakistan dan kes berkait penceramah bebas akan dirujuk ke TPR dalam minggu ini. Saya akan maklumkan perkembangan lanjut,” katanya dalam kenyataan ringkas.
Terdahulu, lelaki Pakistan berkenaan ditahan di Kuala Nerang, Kedah pada 8 Julai lalu selepas disyaki terlibat dalam beberapa kes serangan seksual dan liwat yang berlaku di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28, Shah Alam. Turut ditahan ialah seorang lagi lelaki senegara yang dipercayai membantu suspek bersembunyi.
Sementara itu, siasatan terhadap penceramah bebas terbabit dimulakan selepas isteri keduanya membuat laporan polis mendakwa suaminya menyebarkan video hubungan intim antara dirinya dengan madu serta beberapa wanita lain.
Kes itu mencetuskan perhatian umum susulan dakwaan melibatkan penyebaran bahan lucah secara tidak sah.





