KOTA KINABALU: Lebih 60,000 pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kini menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil, cekap dan diyakini hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga strategik oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Dengan nilai keseluruhan melebihi RM260 juta, pelbagai inisiatif infrastruktur tenaga telah dilaksanakan merangkumi naik taraf pencawang, sambungan grid elektrik baharu serta sistem pemantauan pintar bagi memperkukuh keandalan bekalan di kawasan seperti Tanjung Aru, Ranau, Batu Sapi, dan Labuan.
Majlis penyerahan rasmi projek disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof semasa lawatan PETRA Skuad Sabah 2025 ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Kota Kinabalu Barat (KKBU), satu daripada projek utama di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES).
PMU KKBU, yang kini memberi manfaat kepada lebih 11,000 pengguna, menggantikan sistem usang 66/11kV dengan peralatan suis berpenebat gas (GIS) 132kV dan 33kV, serta transformer moden 132/33/11kV. Projek ini turut menyokong penyambungan kabel baharu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sekali gus menjamin bekalan elektrik ke lokasi strategik.
Antara projek besar lain ialah Projek Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang, dengan kos RM34.92 juta, yang membolehkan sehingga 30MW tenaga diimport dari Sarawak ke Sipitang. Grid ini berpotensi menghantar hingga 500MW, menjadikannya sebahagian penting dalam Jaringan Kuasa ASEAN bagi perkongsian tenaga rentas sempadan.
Ranau kini disambungkan ke grid elektrik Sabah menerusi PPU 33/11kV Ranau bernilai RM31.3 juta. Ini mengurangkan pergantungan terhadap janakuasa diesel dan menjimatkan subsidi kerajaan.
PPU Batu Sapi bernilai RM30 juta pula menyelesaikan masalah sistem agihan lama di Sandakan, memberi manfaat kepada hampir 4,800 pengguna.
Sistem Pengukuhan 11kV di Labuan pula meningkatkan kapasiti untuk menyokong pertumbuhan pesat di kawasan itu.
PETRA turut melaksanakan Projek Protection On-Line Monitoring berjumlah RM42 juta yang merangkumi pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 15 kilometer dari Menumbok ke Tanjung Aru, Labuan. Ini mengukuhkan sistem perlindungan dan komunikasi antara pencawang.
Projek PMU 132/33/11kV Universiti Malaysia Sabah (UMS) bernilai RM50 juta kini meningkatkan kapasiti beban dari 93.51MW ke 131.60MW, memperkukuh bekalan elektrik ke kawasan Sulaman dan Alamesra, dan bersedia menerima beban tambahan dari Hospital UMS serta pembangunan masa depan.
Kesemua projek ini membuktikan komitmen PETRA dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh infrastruktur tenaga Sabah dan Labuan, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kemajuan inklusif dan kesejahteraan rakyat.
Dengan pelaksanaan projek-projek ini, Sabah dan Labuan kini bersedia menghadapi cabaran masa depan dengan sistem tenaga yang lebih kukuh, cekap dan mampan.
