
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan sebarang dokumen kerajaan yang diklasifikasikan sebagai rahsia, termasuk minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang didakwa bocor baru-baru ini, adalah tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) sekiranya dokumen berkenaan disahkan tulen.
Kata beliau, satu laporan polis sudah dibuat susulan dakwaan kebocoran minit mesyuarat JAC yang mula tular sejak semalam, dan perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Jika dokumen itu sahih dan berstatus rahsia, maka ia tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi. Kita perlu berhati-hati dalam perkara ini.
“Saya difahamkan laporan polis telah dibuat, namun setakat ini saya tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen yang tersebar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis IPRM AI Festival 2025: Global PR AI Strategic Communication Insights, hari ini.
Kata Fahmi, penyebaran dokumen rasmi yang diklasifikasikan sebagai rahsia adalah satu kesalahan mengikut undang-undang, dan siasatan lanjut kini diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setakat ini, saya belum menerima maklumat terperinci mengenai perkembangan kes tersebut. Namun jika benar dokumen itu sahih dan tergolong dalam kategori sulit, penyebarannya adalah satu kesalahan serius,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai penyebaran petikan minit mesyuarat JAC yang didakwa bertarikh Mei, dan dokumen tersebut dipercayai mengandungi kandungan yang mirip kepada laporan polis yang bocor sebelum ini.
Fahmi turut menyatakan kemungkinan isu ini akan dibincangkan secara lebih terperinci dalam mesyuarat Kabinet akan datang memandangkan ia melibatkan hal berkaitan keselamatan dan integriti institusi kehakiman.







