KUANTAN: Jabatan Mufti Negeri Pahang menyuarakan kebimbangan terhadap penularan fahaman ‘New Age Movement’ di Malaysia yang semakin menyusup masuk ke dalam masyarakat Islam menerusi pelbagai saluran.
Mufti Pahang, Datuk Asmadi Mohamed Naim berkata, fahaman tersebut dikesan menyelinap melalui program motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan pembangunan spiritual yang pada zahirnya kelihatan neutral, namun sebenarnya mengandungi elemen bertentangan dengan akidah Islam.
“Gerakan ini membawa fahaman seperti pantheisme, reinkarnasi, pluralisme agama serta penyelewengan terhadap wahyu dan syariat.
“Ia sering tersembunyi dalam bentuk kursus pembangunan kendiri, seminar penyembuhan (healing) dan latihan minda, yang nampak biasa namun berbahaya dari sudut akidah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau menegaskan umat Islam perlu berhati-hati terhadap sebarang program atau aktiviti yang mengandungi unsur metafizik yang tidak berpaksikan kepada ajaran Islam yang sahih.
“Dalam hal ini, pendekatan Sufisme berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berpandukan al-Quran, al-Sunnah serta warisan ilmu para ulama muktabar adalah jalan yang betul untuk memenuhi keperluan kerohanian,” jelasnya.
Kata beliau, pendekatan psikospiritual dalam tasawuf seperti amalan tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa), zikir, muraqabah dan pengenalan kepada maqam-maqam kerohanian adalah alternatif seimbang yang sah dan sesuai untuk mengisi kekosongan jiwa manusia moden.
“Ia bukan sahaja menjaga akidah, malah mendidik jiwa agar kembali kepada Allah SWT dengan adab serta rasa kehambaan yang tulus,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam merujuk kepada Jabatan Mufti bagi mendapatkan panduan atau penjelasan berkenaan sebarang keraguan, terutamanya berkaitan program motivasi, pembangunan diri dan aktiviti spiritual yang mencurigakan.
