
KUALA LUMPUR: Labbaik Travel & Tours Sdn Bhd memperkenalkan pakej umrah khas yang memberi penekanan kepada aspek bimbingan rohani secara menyeluruh sepanjang ibadah di Tanah Suci.
Pengarah Urusannya, Muhd Yasin Yunaris berkata, inisiatif itu adalah usaha proaktif syarikat dalam memperkukuh pengalaman ibadah para jemaah, selaras dengan keperluan spiritual yang semakin diberi perhatian umat Islam masa kini.
“Kerjasama ini membawa misi bukan sekadar perjalanan ke Tanah Suci, tetapi juga menyucikan jiwa dan mengembalikan manusia kepada fitrah sebenar.

“Kami mahu membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya yang berdepan masalah kesihatan mental untuk menemui ketenangan sebenar menerusi umrah di Mekah dan Madinah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Labbaik Travel & Tours dengan pendakwah terkenal, Da’i Izzhar di Wisma Andalusia di sini, hari ini.
Terdahulu melalui kerjasama itu, Labbaik memastikan setiap jemaah bukan sahaja mendapat servis logistik terbaik, malah diberi pencerahan dan pemantapan ilmu untuk benar-benar memahami tujuan ibadah mereka.

Menurut Muhd Yasin, pakej yang dikenali sebagai ‘Umrah Kembali Fitrah’ itu akan bermula tahun hadapan dengan harga serendah RM8,900 seorang, meliputi dua tarikh perjalanan iaitu dari 25 Januari hingga 5 Februari dan 12 April 2025.
“Perjalanan umrah bersama Da’i Izzhar ini menekankan bimbingan rohani secara eksklusif dan pengalaman umrah yang menyentuh hati dengan pendekatan yang lebih peribadi.
“Dengan dua tarikh yang kami sediakan sebanyak dua perjalanan pada tahun hadapan, supaya membuka peluang kepada lebih ramai orang,” katanya.
Labbaik Travel & Tours ialah syarikat pelancongan Islam yang berdaftar dan berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).







