
KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tugasan tersebut akan dikuatkuasa serta-merta.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Jemaah Menteri yang bersidang pada 9 Julai lalu bahawa beliau bersetuju supaya Johari memangku tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
“Beliau akan menjalankan tugas kementerian tersebut sehingga Menteri baharu dilantik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.





