
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera bagi menilai kesahihan dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di kem tentera yang tular di media sosial.
Kementerian menerusi kenyataan menegaskan, dakwaan itu dipandang serius dan tidak mencerminkan budaya, nilai serta amalan ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme dan pematuhan ketat prosedur keselamatan.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara, dan undang-undang semasa.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan dan ATM,” menurut kenyataan itu hari ini.
Kementerian Pertahanan dan ATM menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi.
Selain itu kementerian turut menegaskan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara tidak akan ditoleransi.






