PUTRAJAYA: Bantuan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 untuk setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu melibatkan seramai 22 juta rakyat dan boleh digunakan bagi persiapan menyambut Ramadan dan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, bantuan tersebut akan disalurkan secara terus kepada penerima yang layak melalui pengkreditan ke dalam MyKad.
“Bantuan ini akan dikreditkan pada 9 Februari bagi membantu persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, sumbangan SARA bagi kategori penerima miskin tegar akan dikreditkan lebih awal iaitu pada 9 Januari ini.
Selain itu, bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa Satu berjumlah sehingga RM500 dijadualkan dikreditkan kepada penerima bermula 20 Januari ini.
