
JASIN : Tiga individu, termasuk seorang wanita, ditahan polis selepas disyaki memiliki senjata api dan amunisi tanpa lesen dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Bemban, semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata serbuan dijalankan sekitar jam 5.30 petang oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, berlandaskan maklumat diterima daripada orang awam.
Beliau menambah, serbuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 54 dan 45 tahun serta seorang wanita berumur 22 tahun.
“Polis turut merampas sepucuk senjata api jenis shotgun bersama beberapa butir amunisi yang diletakkan di atas meja di bawah garaj rumah berkenaan.
“Turut dirampas ialah satu unit udi senjata api jenis shotgun berwarna coklat, satu unit penghadang tangan senjata api, satu unit tali pinggang peluru, satu unit sarung senjata api serta 10 butir kelongsong peluru jenis 12 bore berwarna putih selain beberapa butir kelongsong peluru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Lee Robert, ketiga-tiga direman selama tiga hari sehingga 7 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api tanpa lesen.
“Kedua-dua lelaki terbabit masing-masing mempunyai tiga dan tujuh rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, manakala wanita terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.







