
KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju memperluas pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada pelajar sehingga tingkatan enam, berbanding sebelum ini yang terhad kepada pelajar sehingga tingkatan lima.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan dalam tempoh satu hingga dua minggu menerusi inisiatif Kembali ke Sekolah, melibatkan pelajar daripada peringkat prasekolah hingga tingkatan enam.
Katanya, penyaluran bantuan itu tidak boleh diwakilkan kepada pihak lain, termasuk anak sendiri, memandangkan peruntukan yang disediakan kerajaan adalah besar.
“Kita syaratkan ibu bapa mesti hadir ke sekolah. Pertama, bagi memastikan wang itu benar-benar dibelanjakan untuk anak dan kedua, supaya ibu bapa dapat mendengar sendiri daripada guru mengenai perkembangan serta masalah anak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 yang disiarkan secara dalam talian, hari ini.
Bantuan Awal Persekolahan RM150 kepada murid sekolah kerajaan sebelum ini diumumkan oleh Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober tahun lalu.






