KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mengenakan hukuman denda RM2,000 terhadap Exco Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Razali Idris, selepas mendapati beliau bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam satu ucapannya tiga tahun lalu.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan tersebut selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan Razali menjalani hukuman penjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Razali yang juga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa bagi satu pertuduhan menghasut berkaitan kenyataan yang dibuat semasa program Pilihan Raya Kecil (PRK) di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, pada 10 November 2023.
Berdasarkan pertuduhan, beliau didakwa mempersoalkan perbezaan layanan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, berbanding Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ketika itu disabitkan kesalahan pecah amanah jenayah.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada tahun lalu membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan tersebut.
Semasa prosiding mitigasi, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud memohon mahkamah hanya mengenakan hukuman denda terhadap Razali, dengan memaklumkan video mengandungi kenyataan berunsur hasutan itu telah dipadam tidak lama selepas dimuat naik ke media sosial.
Menurutnya, kenyataan berkenaan tidak menyebabkan sebarang kesan buruk kepada orang awam atau mana-mana pihak.
Beliau turut berhujah anak guamnya akan hilang kelayakan sebagai ADUN sekiranya dikenakan denda melebihi RM2,000 atau hukuman penjara melebihi setahun.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh dengan menyatakan denda semata-mata tidak memadai sebagai pengajaran.
