
PETALING JAYA: Polis giat menjalankan siasatan berhubung kes seorang lelaki yang maut ditembak dalam kejadian di sebuah restoran makanan segera di Banting, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 10 malam melalui talian kecemasan MERS 999.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan seorang lelaki maut selepas ditembak ketika makan di restoran berkenaan.
Suspek yang dipercayai seorang lelaki menunggang motosikal kini diburu polis.






