
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan Perutusan Tahun Baharu 2026 pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
Antara inti pati utama yang diumumkan ialah:
- Undang-undang pemisahan kuasa antara Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan menjadi rang undang-undang pertama dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.
- Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat akan dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada tahun ini.
- Rang undang-undang berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan pada sesi Parlimen semasa.
- Pelaksanaan sistem digital akan dipergiat bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam.
- Gaji hakim mahkamah akan dinaikkan selepas tempoh 10 tahun tanpa sebarang kenaikan.
- Peruntukan menaik taraf sekolah disalurkan sebanyak RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
- Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1 akan bermula pada 20 Januari ini.
- Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas akan dikreditkan pada 9 Februari.
- Pembayaran SARA secara bulanan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 9 Januari.
- Program Jualan Rahmah MADANI akan bermula pada 9 Januari dan diadakan sebanyak tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
- Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap murid boleh diambil di sekolah masing-masing.





