
KUALA LUMPUR: Selangor FC mengumumkan pelantikan Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad utama Gergasi Merah.
Dalam kenyataan rasmi kelab, Selangor FC turut mengesahkan bekas ketua jurulatih interim, Christophe Gamel, dilantik sebagai Pengarah Teknikal baharu yang berkuat kuasa semalam.
Kelab yakin pengalaman luas serta rekod pencapaian cemerlang dimiliki Pan-gon mampu memikul tanggungjawab besar selaku ketua jurulatih skuad Gergasi Merah dengan jayanya.
“Berbekalkan pengalaman yang luas serta pencapaian yang cemerlang, kelab percaya Pan-gon akan memikul tanggungjawab sebagai pengendali dengan jayanya serta mengemudi pasukan Selangor ke tahap yang lebih tinggi.
“Manakala, peranan Gamel selaku Pengarah Teknikal adalah tertumpu sepenuhnya kepada pembangunan jurulatih dan pemain muda bagi skuad bawah 23 tahun sehingga peringkat akar umbi.
“Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Pan-gon dan Gamel dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan mereka. Demi Kebanggaan!” kata kenyataan tersebut.







