
KUALA LUMPUR: Imam Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis, Sheikh Ali Umar Yaqoub Abbasi, menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan serta rakyat Malaysia yang tidak jemu mendoakan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin, di Gaza mahupun di Al-Quds.
Penghargaan berkenaan disampaikan sendiri oleh Sheikh Ali Umar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau menerima kunjungan tokoh agama itu petang semalam.
Anwar berkata, dalam pertemuan itu, beliau dan Sheikh Ali Umar turut senada dan sepakat mengenai kepentingan Masjid Al-Aqsa dan masa hadapan Al-Quds.
“Saya turut berkongsi inisiatif yang dijalankan oleh Kerajaan MADANI bagi terus menyokong usaha pembebasan Masjid Al-Aqsa.
“Moga Allah SWT sentiasa memberkati usaha kita untuk terus berdiri bersama saudara-saudara di Palestin, dalam menentang keganasan rejim zionis Israel,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook beliau.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.




