
MANCHESTER: Manchester United mengesahkan pemecatan Ruben Amorim sebagai ketua jurulatih selepas 14 bulan mengemudi pasukan.
Menurut kenyataan Manchester United, Ruben telah dilantik pada November 2024 dan berjaya membawa pasukan ke perlawanan akhir Liga Europa UEFA di Bilbao, Sepanyol pada bulan Mei.
“Kepimpinan kelab dengan berat hati telah membuat keputusan bahawa inilah masa yang sesuai untuk melakukan perubahan dengan Manchester United kini menduduki tangga keenam Liga Perdana Inggeris.
“Langkah ini diambil bagi memberi pasukan peluang terbaik untuk mencapai kedudukan setinggi mungkin dalam Liga Perdana.
“Kelab ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ruben atas sumbangannya dan mendoakan kejayaan beliau pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Darren Fletcher akan mengambil alih tanggungjawab mengendalikan pasukan dalam perlawanan menentang Burnley pada hari Rabu.
Keputusan tersebut menyaksikan pengendali dari Portugal berkenaan meninggalkan Old Trafford lebih awal apabila kontraknya masih berbaki hingga 2027.







