
KUALA LUMPUR: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 akan diteruskan dengan pemberian RM150 secara one-off kepada lebih 5.2 juta murid sekolah, seawal Januari tahun depan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan berkata, ia meliputi pelajar tingkatan 6, bagi membantu meringankan kos menyediakan kelengkapan persekolahan tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.
“Bagi tahun 2026, penyaluran bantuan akan kembali dibuat secara serahan tunai di sekolah melalui program pertemuan antara guru dengan ibu bapa.
“Pendekatan ini bukan sahaja memastikan penyampaian yang lebih berkesan, malah bertujuan mengeratkan hubungan kerjasama antara guru, murid dan ibu bapa,” kata kenyataan itu.
Jelasnya lagi, komitmen berterusan tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kebajikan murid sentiasa terpelihara demi kelangsungan pendidikan berkualiti.






