
KUALA LUMPUR : Kerajaan tidak campur tangan dalam penetapan struktur tambang perkhidmatan e-hailing, sebaliknya kadar bayaran ditentukan sepenuhnya oleh mekanisme pasaran berasaskan permintaan dan penawaran.
Dalam satu kenyataan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menjelaskan perkara itu sebagai respons kepada empat isu yang dikemukakan dalam sesi libat urus bersama Persatuan Rakan Penghantar Melaka pada 17 November lalu.
Katanya, setiap pemandu turut diberi kebebasan untuk memilih sama ada mahu menerima atau menolak sebarang tempahan yang ditawarkan.
“Namun begitu, menurut peraturan APAD (di bawah Keperluan Tahap Perkhidmatan, Lesen Perniagaan Perantaraan, Kenderaan E-Hailing, Perkara 11, Bahagian III – Operasi), iaitu syarat-syarat lesen yang perlu dipatuhi semua pemegang lesen perniagaan telah ditetapkan.
“Antaranya pemegang lesen hendaklah memastikan pemandu tidak tawar-menawar selepas berjaya mendapat tempahan, sebaliknya memberikan perkhidmatan berdasarkan tempahan yang diterima,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, APAD menambah, Kementerian Pengangkutan sedang melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam (PSPA).
“Antara fokus utama ialah menilai keperluan serta kesesuaian untuk memperkenalkan kawal selia terhadap struktur tambang perkhidmatan e-hailing.
“Hasil kajian tambang lantai e-hailing itu akan dibentangkan kepada menteri untuk pertimbangan lanjut.
“Bagaimanapun, pada masa ini, kerajaan tidak mengawal kadar tambang e-hailing,” ujar kenyataan itu lagi.
Sementara itu, katanya, kenderaan persendirian yang menjalankan perkhidmatan komersial (e-hailing) perlu mendapatkan insurans tambahan daripada syarikat insurans masing-masing yang akan menetapkan kadar tambahan tersebut.
APAD turut menjelaskan, insurans tambahan e-hailing ini akan memberikan perlindungan bukan sahaja kepada pemandu, kenderaan dan pihak ketiga malah kepada penumpang yang tidak terlindung di bawah skim insurans kenderaan persendirian.





