
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar sindiket dadah antarabangsa menjadikan premis dalam kebun durian di Teluk Bahang, Pulau Pinang, sebagai makmal haram bagi pemprosesan dadah dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan hampir RM38 juta.
Kejayaan itu hasil risikan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) yang membawa kepada beberapa siri serbuan serentak pada Sabtu dan Ahad lalu sekitar negeri terbabit.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis berjaya menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang disyaki beroperasi sejak Ogos lalu dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 1.2 tan, membabitkan nilai RM38 juta.
“Sindiket ini menjadikan sebuah rumah di kawasan kebun durian sebagai makmal haram memproses dadah manakala premis perniagaan dan kondominium digunakan sebagai stor penyimpanan serta lokasi pembungkusan sebelum bekalan dihantar ke luar negara,” katanya
“Dalam serbuan pertama di sebuah premis di Georgetown, seramai tiga lelaki warganegara asing berusia antara 32 hingga 38 tahun ditahan dan mereka dipercayai bertindak sebagai ahli kimia memproses dadah.
“Seorang lagi suspek lelaki warga tempatan berusia 27 tahun mati di lokasi selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan itu ketika cuba melarikan diri ,” katanya.
Pada serbuan itu, beliau menambah, polis merampas sebanyak 26 kilogram (kg) disyaki methamphetamine dan pelbagai peralatan pembungkus dadah.
Katanya, serbuan kedua dijalankan di sebuah premis perindustrian di Taman Windmill berhampiran lokasi sama, yang digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan semula serta merampas dadah berkenaan seberat 474kg.
“Serbuan ketiga pula membawa kepada penemuan sebuah makmal haram di sebuah rumah tidak bernombor dalam kawasan kebun durian di Teluk Bahang dyang disewa sindiket sejak September lalu dengan harga RM80,000 setahun,” ujarnya.
Hussein berkata, di kebun durian dengan keluasan kira-kira 32 hektar itu, polis merampas serbuk putih disyaki methamphetamine seberat 60 kg, ketulan kristal disyaki methamphetamine seberat 54 kg.
“Selain itu, terdapat juga cecair disyaki methamphetamine seberat 574 kg serta pelbagai peralatan memproses dadah yang dibawa masuk dari luar negara.
“Jumlah keseluruhan rampasan daripada ketiga-tiga serbuan itu kira-kira 1.2 tan syabu yang dianggar mampu digunakan hampir enam juta penagih jika terlepas di pasaran,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.







