
KUALA LUMPUR: Datuk Mohd. Nazifuddin Najib meluahkan rasa sedih terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Titah Adendum berkaitan bapanya, Datuk Seri Najib Razak adalah tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi tujuan menjalani hukuman tahanan rumah.
Nazifuddin berkata, keputusan tersebut bukan sahaja memberi kesan peribadi kepada keluarganya, malah membawa implikasi besar terhadap makna dan kedudukan titah Yang di-Pertuan Agong dalam sistem perundangan negara.
“Saya kenal ayah saya. Bossku tidak akan mengalah. Beliau akan terus berjuang. Namun sebagai seorang anak, saya tertanya-tanya bilakah semua ujian ini akan berakhir,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Exco Pemuda UMNO berkata, sepanjang puluhan tahun, UMNO sentiasa memperjuangkan prinsip menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu dan mematuhi setiap titah serta perkenan Agong.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu membawa maksud titah atau dokumen diraja tidak mempunyai nilai tanpa melalui proses kerajaan sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap sistem yang selama ini dijunjung.
Nazifuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Langkawi mempersoalkan mengapa perkara berkaitan proses tersebut tidak dijelaskan sejak awal sehingga memaksa pihaknya berulang-alik ke mahkamah untuk mempertahankan kewujudan Titah Adendum berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan konsistensi pelaksanaan undang-undang serta menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan yang didakwanya tidak menunjukkan kesungguhan sama dalam memburu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.







