SHAH ALAM: Hasrat ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya hingga menyebabkan kecederaan fizikal tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonannya.
Keputusan ke atas tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, 30, itu dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu.
Pada 19 November lalu, Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara atas kesalahan tersebut.
Pada 31 Oktober lepas, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM3,000.
Ismanira turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
