KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan sebarang percubaan untuk menempatkan kuasa dan budi bicara pengampunan Diraja di bawah pengaruh kehakiman atau birokrasi berisiko besar mencabar ketetapan Perlembagaan.
Beliau berkata, Pas memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah, selaras dengan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.
Menurut Takiyuddin, setiap keputusan, arahan, atau panduan yang dibuat oleh YDPA dalam menggunakan kuasa budi bicara di bawah peruntukan Perlembagaan adalah sah dan tertakluk kepada kerangka undang-undang tertinggi negara.
“Justeru, sebarang kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Diraja.
“Perbuatan sedemikian hanya akan menghakis dan merendahkan wibawa, kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, Pas tegas berpandangan isu Adendum yang merupakan sebahagian daripada keputusan langsung YDPA ke-16 mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara serta-merta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran.
“Perlu ditegaskan prinsip-prinsip Perlembagaan tidak boleh sama sekali dilaksanakan secara selektif mengikut keperluan politik atau individu tertentu.
“Perlembagaan tidak menerima sebarang bentuk hierarki atau kelas dalam kalangan rakyat, khususnya dalam pelaksanaan kuasa pengampunan Diraja,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata, kewujudan persepsi berlakunya layanan yang tidak setara pastinya akan merosakkan kepercayaan awam terhadap sistem pemerintahan yang terbina berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang.
“Berdasarkan prinsip-prinsip tadi, maka Pas menyokong penuh hak Najib untuk memfailkan rayuan kesnya ke mahkamah lebih tinggi, selaras dengan hak rayuan yang merupakan jaminan serta perlindungan asasi setiap individu dan wajib dihormati serta dibenarkan berjalan secara bebas, adil dan tanpa prejudis.
Semalam, Mahkamah Tinggi memaklumkan tahanan rumah seperti yang dipohon Najib tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.
Hakim Alice Loke Yee Ching berkata demikian ketika menolak permohonan Najib, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Addendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.
