PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memberi jaminan pemeliharaan kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, termasuk Kampung Baru, akan terus diberi keutamaan.
Beliau menegaskan usaha mengekalkan warisan dan identiti komuniti tempatan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan diteruskan seiring pembangunan bandar, sambil merujuk rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Segambut dalam mempertahankan kampung tradisi Melayu seperti Kampung Sungai Penchala.
“Mengenai komitmen saya dalam menjaga kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, jangan risau. Rekod perkhidmatan saya boleh dirujuk.
“Saya Ahli Parlimen kawasan Kampung Sungai Penchala dan telah menegaskan betapa pentingnya kampung tradisi Melayu dipelihara,” katanya kepada media selepas melapor diri secara rasmi bersama timbalannya, Datuk Lo Su Fui, di sini hari ini.
Hannah berkata, pembangunan komersial mudah dilaksanakan, namun kampung tradisi Melayu yang semakin berkurangan perlu dipelihara sebagai warisan dan identiti masyarakat bandar.
“Kalau hendak mencari bangunan komersial, itu mudah, tetapi kampung tradisi semakin sukar ditemui. Bagaimanapun, semua perkara perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang dan saya perlu mendapatkan taklimat daripada agensi berkaitan terlebih dahulu,” katanya.
Mengenai isu Kampung Baru, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini daripada Penasihat Undang-Undang dan pegawai berkaitan sebelum membuat sebarang keputusan.
Katanya, isu tersebut telah lama dibincangkan di Parlimen dan memaklumkan perbincangan turut diadakan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani, sambil menegaskan semua urusan yang dimulakan oleh bekas menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa akan diteruskan.
