
KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO membidas Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin susulan kenyataannya yang didakwa bersorak ‘meraikan’ keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum.
Setiausaha BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang juga Menteri Pendidikan Tinggi menyifatkan tindakan wakil rakyat DAP itu tidak wajar kerana meraikan keputusan mahkamah yang melibatkan penderitaan individu lain.
“Mengapa perlu diraikan? Jangan meraikan penderitaan orang lain.
“Hidup ini ibarat satu kitaran. Ingatlah, pemimpin anda juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan agar semua pihak menjaga adab dalam mengeluarkan kenyataan.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Bee Yin sebagai biadab, melampau dan tidak berperikemanusiaan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh pula menggesa UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan, sambil menegaskan lebih baik parti itu menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus dihina rakan sekutu.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan semakan kehakiman difailkan bekas Perdana Menteri itu bagi memaksa kerajaan serta enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum supaya beliau menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Ia membabitkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang disabitkan ke atas Najib yang juga bekas Presiden UMNO.





