
KUALA LUMPUR: ASEAN mesti melakukan apa sahaja yang perlu bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau terus terpelihara khususnya dalam menangani situasi tegang antara Thailand dan Kemboja.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Malaysia berpandangan usaha menangani konflik berkenaan tidak seharusnya terhad kepada meredakan ketegangan semata-mata.
Sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pembinaan kepercayaan dan kesinambungan dialog antara pihak terlibat.
Menurutnya, pendekatan ASEAN perlu berlandaskan pengajaran daripada pengalaman lalu serta dipandu oleh kebijaksanaan, solidariti dan kepercayaan yang selama ini menjadi asas kekuatan rantau berkenaan dalam mengharungi pelbagai cabaran.
“ASEAN mesti melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
“Matlamat kita bukan sekadar meredakan ketegangan, tetapi memastikan dialog terus berlangsung walaupun berdepan perbezaan ketara,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) mengenai situasi Thailand-Kemboja, di sini hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia berdukacita dengan korban awam akibat konflik berlarutan antara kedua-dua negara yang bukan sahaja menjejaskan kehidupan penduduk setempat, malah mencetuskan perpindahan dalaman dalam skala besar.
Beliau memaklumkan sejak tercetusnya permusuhan pada Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berusaha secara berterusan untuk memudah cara penyelesaian secara muhibah melalui penglibatan langsung dengan kepimpinan Thailand dan Kemboja.
“Pengerusi menggesa kedua-dua pihak melaksanakan sepenuhnya perjanjian yang telah dimeterai, termasuk Perjanjian Gencatan Senjata Julai, perjanjian susulan serta Perjanjian Damai Kuala Lumpur, demi menamatkan konflik dan memulihkan keamanan serantau,” katanya.






