
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan pelaksanaan hukuman penjara di bawah konsep tahanan rumah tidak boleh dilaksanakan kerana tiada mekanisme undang-undang yang memperuntukkannya.
Hakim Alice Loke Yee Ching berkata, berdasarkan Seksyen 43 Akta Penjara 1995, budi bicara untuk membenarkan seseorang banduan menjalani hukuman di bawah tahanan rumah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Komisioner Jeneral Penjara.
Katanya, titah adendum yang dikemukakan dalam permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah melucutkan budi bicara tersebut dan dengan itu tidak selaras dengan kerangka perundangan sedia ada.
“Titah adendum itu melucutkan budi bicara berkenaan, justeru ia bercanggah dengan peruntukan statutori,” katanya dalam penghakiman ketika menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Hakim Alice turut menjelaskan titah adendum tersebut tidak pernah dipertimbangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61, selain tidak mematuhi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 42 memperuntukkan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan, penangguhan atau peringanan hukuman atas nasihat Lembaga Pengampunan.
Sehubungan itu, beliau memutuskan perintah berkenaan adalah tidak sah, dan pihak responden tidak mempunyai kuasa mahupun kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya.
Mahkamah juga menolak hujah pemohon Yang di-Pertuan Agong tidak terikat untuk membuat keputusan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan, dengan menyifatkan hujah tersebut tidak berasas dari sudut undang-undang dan tidak boleh dipertahankan.
Najib, 72, kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Tahun lalu, satu semakan kehakiman difailkan bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum yang didakwa membolehkan Najib menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.
Pada Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan Dewan Rakyat Akta Penjara memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan atau tempat sebagai “penjara” bagi tujuan pemenjaraan.







