Beranikah Kit Siang nafi SJKC, SJKT tidak wujud dalam Perlembagaan?
Seorang pemimpin Umno mempersoalkan kenapa veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang panaskan isu Perdana Menteri bukan Melayu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata memang benar Perlembagaan Persekutuan dengan jelas tidak menyebut Perdana Menteri mesti orang Melayu.
“Kit Siang sendiri mengaku dia tidak bermimpi untuk jadi Perdana Menteri. Dia juga mengaku tidak yakin 100 tahun lagi orang Cina akan jadi Perdana Menteri.
“Maka biarlah kematangan politik mengambil tempat secara natural. Bukan dipaksa. Tidak perlu diungkit ungkit dan dijadikan isu sensasi,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mohd Puad juga mengingatkan Kit Siang perlu sedar bahawa kematangan politik Melayu menyebabkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) masih wujud hingga hari ini.
“Sebab itu kaum mana jadi Ketua Menteri Pulau Pinang tidak jadi isu.
“Beranikah Kit Siang menafikan SJKC dan SJKT tidak wujud dalam Perlembagaan? Sekolah itu wujud kerana kontrak sosial yang tidak bertulis dan pemimpin Melayu terus menghormatinya.
“Kit Siang tidak marah Lee Kuan Yew menutup Nanyang University yang guna bahasa Cina. Universiti itu digabungkan dengan National University of Singapore yang guna Bahasa Inggeris,” katanya lagi.
Tambah Kit Siang, di Malaysia tolak ansur masih ada dan veteran DAP itu sendiri antara yang membantah SJKC melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).
“Sebab itu SJKC kekal guna mandarin bagi mata pelajaran sain dan matematik. Tidak timbul soal perlembagaan. Tidak timbul isu kebebasan bersuara.
“Kenapa setelah bersara politik dan dapat Tan Sri masih main isu 3R? Negara perlu 100 tahun lagi untuk matang,” katanya.
Kit Siang semalam memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Ia susulan laporan polis diterima berkait impian kontroversinya untuk melihat bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Kit Siang mencetus kontroversi melalui kenyataan dikeluarkan di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu, menyebut ‘tiada sekatan dalam Perlembagaan untuk bukan Melayu menjadi Perdana Menteri’.
Kenyataan berkaitan ‘Impian Malaysia’ oleh Kit Siang itu dibuat ketika beliau berucap di hadapan kumpulan pelajar Malaysia di sana.
Bekas Pengerusi DAP itu antara lain mengatakan Perlembagaan Malaysia pada 1957 mahupun selepas dipinda pada 1963 ketika Malaysia dibentuk, bersama-sama dengan Rukun Negara dan Wawasan 2020 berserta sembilan cabaran strategiknya, menjanjikan ‘Impian Malaysia’.
Impian itu, katanya, meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya, bukannya membawa satu impian untuk mana-mana satu etnik sahaja.