Rombakan Kabinet bukan untuk perkukuh pengaruh Zahid
Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menafikan rombakan Kabinet yang menyaksikan beberapa menteri dari Barisan Nasional (BN) bertukar portfolio, bertujuan perkukuh pengaruh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, perubahan portfolio itu tiada kaitan dengan perkara tersebut, sebaliknya ia hak prerogatif Perdana Menteri.
“Ia tiada kaitan kerana kita perlu faham bahawa menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk membina pasukan (Jemaah Menterinya).
“Tentu beliau sudah membuat penilaian yang terbaik untuk meneruskan (gerak kerja) dan juga respon yang beliau peroleh daripada rakyat, bagaimana beliau menyusun semula (Kabinet),” katanya memetik Harian Metro.
Beliau yang kini yang kini Menteri Pendidikan Tinggi ditemui selepas sesi ‘Clock in’ di pekarangan lobi Kementerian Pendidikan Tinggi di Putrajaya hari ini.
Rombakan Kabinet kelmarin menyaksikan pemimpin kanan Umno beralih portfolio antaranya Zambry yang sebelum ini Menteri Luar bertukar ke Kementerian Pendidikan Tinggi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilantik Menteri Pertahanan.
Timbalan Presiden Umno yang juga bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula mengambil alih jawatan Zambry sebagai Menteri Luar.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, penstrukturan semula Kabinet adalah perkara biasa bagi memantapkan lagi pentadbiran kerajaan.
“Ia tiada kaitan dengan soal politik, begitu, begini seperti yang dispekulasi oleh sesetengah pihak. Nak kawal untuk orang tidak bercakap ini amat susah, tetapi paling mustahak adalah tumpuan kita.
“Seperti mana disebut Perdana Menteri, tumpuan kita ialah apa yang perlu kita laksanakan, apa yang sudah beliau tetapkan kerana matlamat dalam Kerajaan Madani ialah untuk memberi yang terbaik kepada rakyat,” katanya.